NASIHAT kepada atlet angkat berat supaya sentiasa menjaga botol air masing-masing sewaktu latihan dan hari pertandingan di Sukan Komanwel New Delhi, India mungkin melucukan buat sesetengah pihak namun perkara itu antara yang perlu diberi perhatian sebenarnya
Pengurus pasukan angkat berat negara, Zainuddin Joseph berkata, peringatan itu sudah diberikan kepada atlet untuk mengelakkan sebarang kemungkinan ada pihak yang cuba mensabotaj dengan memasukkan bahan terlarang seperti steroid dalam air minuman atlet.
“Kita tidak perlu bimbang kerana menerusi ujian doping yang dijalankan sebelum ini, atlet negara semua bebas daripada sebarang penggunaan barang terlarang, cuma saya menasihatkan supaya apabila berada di sana, atlet kena sentiasa memegang botol air masing-masing. “Jika atlet berlatih atau beraksi pada hari kejohanan itu nanti, jurulatih akan memegang botol air tersebut kerana kami takut ada pihak yang cuba memasukkan bahan-bahan tertentu seperti steroid dalam minuman untuk tujuan sabotaj. “Mungkin insiden sebegini tidak pernah berlaku dalam mana-mana kejohanan dalam negara tapi apabila kita bertanding di luar negara perkara ini perlu diambil kira,” katanya yang ditemui Arena Metro semalam.
Seramai 14 atlet angkat berat akan bertanding di Sukan Komanwel yang akan bermula 3-14 Oktober ini dengan pemenang tiga pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002, Amirul Hamizan Ibrahim yang akan bertanding dalam kategori 56 kilogram.
Selain emas yang disandarkan kepada Amirul, berdasarkan ranking semasa atlet ketika ini, sekurang-kurang tiga pingat lagi tidak mengira warna boleh dibawa pulang menerusi kategori 56kg menerusi Mohd Shafiq Ismail, 62kg Aricco Jumith dan 48kg, Zaira Zakaria.
Menurut, Zainuddin semua atlet masing-masing berpeluang untuk meraih pingat memandangkan peningkatan yang dipamerkan dalam latihan persiapan selama dua bulan di China dan Indonesia meskipun tidak menyertai sebarang kejohanan luar negara tahun ini.
“Kami mengharapkan Amirul akan meneruskan penguasaan dalam acara 56kg selepas Malaysia berjaya meraih emas pada 2002 dan 2006. Namun kami tahu India yang sememangnya musuh tradisi pasti akan memberi tentangan.
“Kalau kita ikut ranking atlet angkat berat komanwel, sasaran empat pingat memang boleh dicapai tapi kita tidak tahu perkembangan pihak lawan, mungkin mereka juga sudah meningkat. “Apa yang saya harapkan agar atlet negara tidak mengalami kecederaan ketika bertanding, jika mereka boleh sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi, tidak mustahil untuk membawa pulang pingat,” katanya yang kini turut menjadi ketua jurulatih angkat berat Pahang.
Mengulas mengenai insiden siling runtuh di venue angkat berat di Sukan Komanwel minggu lalu, Zainuddin yakin atlet tidak perlu bimbang kerana pihak tuan rumah pasti akan memastikan keselamatan dan kelancaran acara itu.
Atlet angkat berat akan berlepas ke New Delhi petang ini bersama-sama atlet gimnastik, renang, memanah dan badminton.
sumber:Harian Metro
No comments:
Post a Comment